KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman empat penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM300,000 daripada ejen serta calon yang mengambil lesen memandu.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi.

Sumber memberitahu, kesemua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 dan 2022 serta disyaki menerima wang rasuah melalui orang tengah sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen memandu kepada calon tanpa perlu mengikuti ujian memandu.

“Modus operandi (MO) yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa ini adalah dengan meminta dan menerima rasuah daripada 'orang tengah' antara RM400 hingga RM1,200 daripada setiap calon bagi mendapatkan lesen memandu pelbagai kelas tanpa menjalani ujian memandu,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu berkata, kegiatan haram sindiket lesen terbang ini dipercayai menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan sebanyak kira-kira RM1.5 juta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.